Thursday, July 26, 2018

PENGENALAN TERAS KAYU

TERAS KAYU

Entri kali ini, kami ingin berkongsi dengan sahabat berkenaan Teras Kayu (heartwood) iaitu satu bahagian dalam pokok yang sangat unik dan mempunyai khasiat yang amat banyak.





STRUKTUR KAYU

Tahukah sahabat, struktur pokok kayu secara umumnya boleh dibahagikan kepada 3 bahagian :-

- kulit (bark)
- gubal (sapwood)
- teras (heartwood)









TURUTAN KEJADIAN TERAS KAYU

Kejadian asal batang kayu ialah daripada gubal (sapwood). Gubal ialah satu struktur yang menjadi perantaraan untuk menyalurkan air dan mineral kepada akar dan pucuk.

Tahun berganti tahun, apabila pokok semakin tua dan batangnya semakin membesar, satu perubahan struktur mula berlaku. Pokok yang besar, memerlukan sokongan yang kuat dan padu, bukan hanya melalui akar, bahkan melalui batangnya sendiri. Sel-sel berdekatan dengan bahagian tengah batang akan mati tetapi masih berhubung dengan gubal.

Manakala gubal kayu yang sudah berusia pula, akan turut sama mati dan akan bercantum dengan sel mati pada bahagian tengah kayu tadi. Gabungan sel-sel mati inilah yang dipanggil teras kayu. Pada waktu ini, mineral dan air yang mengalir didalam batang akan diserap oleh teras kayu.

Disebabkan mineral-mineral yang terkumpul inilah yang membuatkan teras kayu menjadi struktur yang tahan kepada serangan serangga dan organisma-organisma pereputan. Juga, kerana inilah teras kayu (heartwood) menjadi semakin hari semakin gelap dan semakin keras.

Jadi, tidak hairanlah kalau kita menjumpai batang pokok yang luarannya nampak buruk atau sedang mereput, tetapi apabila ditakik, kita akan dapat rasa sesuatu yang sangat keras dalam batang kayu tersebut. Itulah Teras Kayu yang menjadi buruan ramai.












MENGENAL TERAS KAYU

Cara paling mudah untuk kita bezakan antara Gubal Kayu (sapwood) dan Teras Kayu (heartwood) ialah pada warnanya. Majoriti warna Teras Kayu (heartwood) ialah gelap. Biasanya coklat gelap.

Ianya bergantung kepada umur Teras Kayu (heartwood) tersebut. Lagi lama Teras Kayu (heartwood) berada didalam batang, lagi gelap warnanya.

Antara cara lain untuk mengenal teras kayu (heartwood) ialah melalui berat kayu tersebut. Biasanya Teras Kayu (heartwood) akan lebih berat berbanding Gubal (sapwood) dan kulit (bark).

Selain itu, Teras Kayu (heartwood) juga boleh dikenal melalui bunyi yang terhasil akibat pertembungan mata parang atau kapak dengan teras kayu (heartwood).
Sebelum teras kayu (heartwood) yang berada ditengah batang pokok dapat diambil, gubal kayu (sapwood) mestilah dibuang terlebih dahulu.

Ada 3 Proses membuang Gubal Kayu (sapwood):-

1. Menggunakan Gergaji Besi
2. Menakik dengan kapak dan parang
3. Membiarkan anai-anai memakan Gubal Kayu.

Disini, kami ingin fokus kepada cara kedua, iaitu menakik.

Semasa proses menakik dilakukan. Gubal Kayu (sapwood) akan dibuang secara sedikit demi sedikit. Apabila sudah hampir kepada bahagian tengah batang pokok yang berteras, biasanya kita akan dapat rasai perbezaan pada bunyi. Bunyi menakik Gubal Kayu (sapwood) tidak sama dengan bunyi menakik Teras Kayu (heartwood). Mata kapak yang terkena Teras Kayu (heartwood) akan menghasilkan bunyi seperti besi bertemu besi. 

Disinilah kita boleh nilai sendiri betapa kerasnya Teras Kayu (heartwood) berbanding Gubal Kayu (sapwood).









USIA TERAS KAYU

Setiap pokok mempunyai akar yang berbeza dan batang yang bermacam jenis. Ada pokok yang berakar tunjang dan ada pokok yang berakar serabut. Ada juga pokok yang berbatang keras dan juga pokok yang berbatang lembut.

Secara umumnya, sebatang pokok mengambil masa berpuluh tahun bahkan beratus tahun untuk menghasilkan teras dibahagian tengah batangnya.

Namun, tidak mustahil bagi sebatang pokok itu untuk menghasilkan teras dalam waktu yang singkat dengan perubahan ekosistem, ekologi dan biodiversiti waktu ini.









LOKASI POKOK YANG BERTERAS

Pokok yang berteras tidak semestinya berada didalam hutan belantara dikelilingi oleh bukit-bukau gunung-ganang. Terdapat juga pokok berteras yang boleh didapati di kampung dan desa. Semuanya bergantung kepada jenis pokok.

Saya ambil contoh, pokok Kemuning Hitam ; Murayya Paniculata. Spesis Kemuning Hitam hanya boleh ditemui di kawasan hutan yang berbukit batu kapur. Lebih tepat lagi di tepi lereng bukit. Jadi usah bermimpi untuk mencari Teras Kemuning Hitam di belakang rumah atau di kawasan kampung berhampiran.

Adapun pokok Gemunggal atau Remunggai ; Moringya, pokok ini senang didapati didalam kampung, bukit dan pulau. Cuba lah rakan sahabat cakna dan ambil perhatian terhadap setiap pokok yang tumbang di kawasan masing-masing. Perhatikanlah samada pokok tersebut berteras atau sekadar batang kayu berwarna putih kuning langsat yang langsung tidak ada teras didalamnya.





WARNA TERAS KAYU

Lazimnya Teras Kayu (heartwood) berwarna gelap berbanding Gubal Kayu (sapwood). Apabila Teras Kayu (heartwood) sudah dipotong dan terdedah kepada haba luar, lama kelamaan warnanya akan menjadi semakin gelap. Ini kerana lubang pori yang terdapat pada Teras Kayu (heartwood) sudah terdedah kepada udara luar.

Warna Teras Kayu (heartwood) semestinya lebih gelap daripada warna Gubal Kayu (sapwood). Tapi tak dinafikan, ada juga warna Teras Kayu(heartwood) yang hampir sama dengan warna Gubal Kayu (sapwood).

Biasanya, ini terjadi disebabkan usia Teras Kayu (heartwood) itu masih muda atau dengan kata lain, Teras Kayu (heartwood) tersebut baru sahaja terbentuk.








KELEBIHAN TERAS KAYU

Dalam ketiga-tiga struktur tersebut, Teras Kayu (heartwood) ialah struktur yang paling bernilai kerana Teras Kayu (heartwood) ialah struktur kayu yang paling keras dan paling tahan lama.

Terdapat 3 kelebihan utama bagi Teras Kayu (heartwood) yang menjadi buruan para peminat teras kayu.

1. Teras Kayu (heartwood) tidak mudah terdedah kepada jangkitan kulat. Jarang sekali kulat-kulat kelihatan pada permukaan teras, biarpun teras tersebut dibiarkan pada keadaan panas dan lembap sepanjang masa.

2. Kelembapan dalam Teras Kayu (heartwood) jauh lebih rendah berbanding Gubal Kayu (sapwood).

3. Apabila Teras Kayu (heartwood)melalui proses pengeringan, risiko keretakan pada Teras Kayu (heartwood) sangat tipis. Maksudnya Teras Kayu (heartwood) tidak mudah retak, sumbing atau pecah jika terjatuh

Tapi perlu diambil perhatian, jika Teras Kayu (heartwood) dibiarkan dibawah haba panas, risiko keretakan sangat lah tinggi kerana pada waktu itu, kelembapan dalam kayu akan menurun dan kayu menjadi semakin kering.

Sebab itu bagi mereka yang menggunakan Tasbih Teras Kayu, sangat disyorkan supaya tidak membiarkan tasbih tersebut didalam kereta yang berhaba panas.


4. Dalam satu tempoh masa, Teras Kayu (heartwood) akan menjadi semakin keras, disebabkan kandungan serat yang terdapat didalamnya sudah bercantum kesemuanya.









KHASIAT TERAS KAYU

Sebenarnya, inilah yang paling bernilai bagi Teras Kayu, iaitu khasiatnya. Seringkali apabila dibicarakan perihal khasiat Teras Kayu, pasti adanya unsur-unsur mitos dan mistik yang bermain dibibir pembicara.

Dalam pertemuan saya dengan seorang Pensyarah Kejuruteraan di sebuah IPTA terkemuka di negara kita ini, beliau memberitahu bahawa, didalam kayu ini, terdapat gelombang-gelombang yang berbeza. Lebih-lebih lagi pada Teras Kayu.

Pada peringkat awal, beliau tidak percaya tentang khasiat Teras Kayu yang mana majoriti mengatakan boleh menghalau anasir-anasir halus. Tetapi setelah beliau menerima sebuah mesin untuk mengesan gelombang dalam tumbuhan (bagi kajian Fakulti beliau), beliau telah membuat uji kaji antara tasbih-tasbih Teras Kayu. Ternyata, Tasbih Teras Kayu yang baru siap, Tasbih Teras Kayu yang masih baru dipakai dan Tasbih Teras Kayu yang sudah lama dipakai, mengeluarkan bacaan gelombang yang berbeza-beza.

Ini menyokong kuat bahawa Teras Kayu ini terdapat aura dan gelombang yang tersendiri. Jadi tidak hairan lah kalau sesetengah haiwan liar atau makhluk halus, tidak suka kepada sesetengah Teras Kayu ini. Samada kerana bau atau gelombang yang dikeluarkan oleh Teras Kayu tersebut.

Betapa uniknya ciptaan Allah taala. Maha Suci Allah yang tidak menciptakan sesuatu dengan sia-sia. Hanya manusia itu dibatasi akal fikirannya.
Berbalik kepada perbincangan mengenai khasiat Teras Kayu.

Ada 4 kategori khasiat Teras Kayu yang dapat saya simpulkan disini:-

1. Penawar
2. Pendinding
3. Pembisa
4. Pengasih


Setiap khasiat diatas perlu kepada perincian daripada Ahli Kayu yang Alim dalam Bidang Agama supaya tidak terpesong Akidah dan pegangan seseorang. Masakan tidak, ada segelintir golongan yang sangat taksub kepada Teras Kayu.

Sehinggakan apabila mereka memegang Teras Kayu, mereka boleh merasai aura dan gelombang Teras Kayu tersebut sehingga berdiri bulu roma dan yang lebih parah lagi, sampai menitiskan air mata. Subhanallah.

Cuba kita bandingkan, apakah masa kita pegang Al Quran, Kitab Suci daripada Langit, adakah kita gerun dan menangis dengan cerita azab didalamnya? Dan kita berasa gembira dan asyik dengan janji-janji kemenangan dan kenikmatan didalamnya? Begitulah bandingannya.

Sedangkan Nabi SAW sendiri bersabda, mafhumnya,”apabila engkau membaca Al-Quran, maka menangislah. Apabila kamu tidak mampu menangis (akibat kerasnya hati), maka buat-buat menangislah”.

Sahabat-sahabat Nabi SAW semuanya menangis apabila membaca Al-Quran. Tanda hati mereka ini hidup. Hati mereka rindu dengan syurga dan dalam masa yang sama, takut dan gentar dengan azab daripada-Nya.





PENUTUP

Akhir kata, sesuai dengan visi kami iaitu untuk memperkenalkan seni kayu handmade berkualiti tinggi, maka sahabat-sahabat sudah tentu boleh menilai sendiri betapa susah dan banyaknya cabaran dalam mencari teras-teras kayu ini.

Selain itu, sahabat juga boleh menilai, tujuan kami membuat tasbih secara khususnya daripada teras kayu ini, bukan hanya untuk dibuat zikir, bahkan lebih daripada itu lagi.
Secara asasnya, zikir menggunakan jari pun sudah memadai dan zikir sirr (dalam hati) pun boleh. Tapi kami ingin mengangkat nilai dan seni Teras Kayu yang ada di Nusantara ini melalui Tasbih khususnya.

insyAllah dilain waktu, kami akan kongsikan pula cara pembuatan Tasbih Handmade ini.
Kami juga memohon maaf jika ada tersalah bicara dalam penulisan diatas. Semua maklumat diatas adalah berdasarkan pembacaan, pengalaman dan perbincangan dengan sahabat-sahabat yang berpengalaman dalam bidang ini.

*boleh Share atau CopyPaste dan kredit kepada kami.  😊


======

untuk mengetahui info=info terkini dan terbaru daripada kami, 
Follow Fb :  Warisan Nusantara - Tasbih, Tongkat dan Oud 

No comments:

Post a Comment